Think....Feel...and...see.....

Wednesday, June 10, 2009

KANAK-KANAK DAN PENDIDIKANNYA

Perkataan kanak-kanak dalam bahasa arabnya disebut sebagai al-tifl ( ١لطفل ) yang berasal dari perkataan tafula ( طفل ) yang membawa maksud sesuatu yang lembut, mudah rosak dan sensitif. Maknanya seseorang kanak-kanak itu perlu dijaga, diasuh dan dididik dengan rapi, teliti dan sempurna memandangkan sifat semulajadinya yang mudah terdedah kepada bahaya persekitaran bukan sahaja dibimbangi kerosakan yang akan menimpa fizikal dan tubuh badan malah aspek-aspek yang lain juga amat perlu diberikan perhatian.Dalam memperkatakan mengenai kebaikan yang diamalkan oleh barat, kita sering melihat atau memang sedar masyarakat barat kebiasaannya menggunakan pendektan berhemah dalam membentuk perilaku dan mendisiplinkan anak-anak. Ia seperti sudah menjadi budaya mereka, membelai, memeluk dan mencium anak-anak. Walhal begitu banyak hadis dan saranan ulama’ yang menyebut tentang peri pentingnya mendidik anak dengan kesabaran dan kelembutan. Namun realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, menghukum anak yang melakukan kesalahan selalunya dengan emosi dan jauh sekali dari mendidik.
Imam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, “sesungguhnya anak-anak kita adalah permata”. Dalam membicarakan soal pendidikan anak-anak ini suatu perkara yang perlu kita fahami bahawa mendidik adalah suatu kesenian yang datangnya dari jiwa yang halus dan pemikiran yang kreatif. Suatu yang kreatif dan seni tidak akan lahir dari jiwa yang keras dan peribadi yang kasar yang dipenuhi rasa kejengkelan dicetuskan oleh emosi marah dan hilang pertimbangan akal. Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran dan nasihat yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut. Apatah lagi bila yang dihadapan kita itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa sahaja yang ada di persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari qudwah yang ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui kebiasaan.Ini lah juga antara tajdid yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik anak-anak.
Kembali dan rujuklah amalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan cendidkiawan Islam dalam membentuk dan mendidik generasi. Pendidikan anak-anak di peringkat awal usia yang berlandaskan pendekatan integratif seperti yang disarankan perlu dilaksanakan. Di dalam kitabnya Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui seruannya: “…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…”
Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun.

PENDIDIKAN KANAK-KANAK
Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and Science, 1990).
Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk.
Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya.Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlaq, maka sudah pastilah nilai penghayatannya kontang dan proses aplikasinya tidak dapat diterjemah dalam bentuk nilai peradaban yang sempurna. Akibatnya, generasi yang dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan inteleknya tetapi ‘pencapaian tinggi’ yang hakikatnya dalam ruang lingkup yang sempit yang hanya didasarkan kepada ketinggian pencapaian akademik sedangkan dari aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada keseimbangannya.
Maka jika inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan pada hari ini, ini bererti pendidikan gagal menjana anjakan paradigma dalam sel setiap individu dan dibimbangi sejarah lama akan berulang. Analisis fakta dari perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya penerapan nilai-nilai akhlaq murni kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan.

( dipetik dari 'Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif ' oleh Prof. Madya Dr. Mastura Badzis - Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC)Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
(Naib Presiden HELWA)



0 comments: